Perutusan Pengarah
Assalamualaikum w.b dan salam sejahtera.

Selamat datang ke Laman Web Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur (ILPKL). ILPKL telah mengalami perubahan pesat bermula dari sebuah institut kecil di Malaysia pada tahun 1964, kini telah menjadi antara yang terbesar dengan enrolmen pelajar melebihi 1,000 pelajar setiap masa. Adalah menjadi misi dan visi institut ini untuk memberi latihan kemahiran yang bertaraf dunia. Kejayaan institut melahirkan tenaga-tenaga kerja mahir dan separuh mahir mengikut keperluan industri terbukti dengan permintaan yang tinggi terhadap pelajar-pelajar institut ini dari pihak-pihak berkenaan. Di samping itu juga, ramai lepasan institut yang telah menjadi usahawan yang berjaya. Lebih kurang 40 tahun dalam bidang latihan kemahiran menjadikan institut ini begitu berpengalaman bagi menghadapi arus perubahan teknologi. Kursus-kursus baru diperkenalkan dan kursus-kursus sediaada serta kemudahan latihannya dipertingkatkan bersesuaian dengan perkembangan teknologi terkini.
Alaf baru menyaksikan perubahan fizikal institut. Program penaiktarafan institut akan terus menjamin komitmen kakitangan terhadap keberkesanan program-program latihannya. Untuk memastikan kecemerlangan berterusan institut ini, ILPKL telah pun mendapat pengiktarafan MS ISO 9002 pada penghujung bulan Mei 2001. Dengan pengiktirafan ini pelanggan-pelanggan institut akan terus diberi jaminan perkhidmatan dan produk yang berkualiti mengikut standard yang telah ditetapkan. ILPKL juga sedang dalam proses mendapatkan pengiktirafan sistem kualiti MS ISO 9000:2000 bagi memastikan institut ini terus berada di tahap kecemerlangan selaras dengan kemajuan negara.
Tahun 2003 menyaksikan ILPKL dilengkapi dengan kemudahan internet sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Adalah menjadi matlamat institut, program atau proses pembelajaran e-training melalui modul-modul yang disediakan akan dapat dilayari oleh semua warga ILPKL dan orang ramai pada suatu masa kelak.
Kesemua matlamat ini memerlukan bukan sahaja perancangan rapi, tetapi komitmen, semangat berpasukan dan usaha yang bersungguh-sungguh tanpa mengenal jemu di kalangan warga ILPKL. Tanpa ini semua, visi dan misi ILPKL akan menjadi igauan semata. Kepada warga ILPKL, percayalah, kita pasti boleh membuat sesuatu yang menakjubkan, jika kita mahu.
Akhir kata, selamat melayari laman web Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur - sumber maklumat kepada latihan teknologi untuk industri tanahair.
Sekian terima kasih.
" BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
" Pekerja Merealisasi Transformasi Negara"
HAJI MOHD HASHIMI BIN ABD HADI




: 1024 X 768 pixels )