Akhbar : Bernama | Tarikh : 16 April 2014
PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia menyasar untuk melahirkan 35,000 pekerja mahir yang diiktiraf Kumpulan Gazelle, menjelang akhir tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata Kumpulan Gazelle, sebuah konsortium institut kemahiran terkemuka berpusat di United Kingdom (UK) akan memberi pengiktirafan kepada pekerja mahir di negara ini melalui program 'Pengiktirafan Pembelajaran Terdahulu' (RPL).
"Melalui program ini pekerja mahir yang tidak mempunyai kelulusan akan mendapat sijil pengiktirafan berdasarkan pengalaman supaya mereka boleh meminta gaji lebih tinggi berdasarkan pengalaman," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Jelajah Kemahiran Wilayah Utara 2014 di sini Rabu.
Kumpulan Gazelle yang terdiri daripada empat institusi latihan pendidikan kemahiran, berpengalaman melaksanakan RPL di UK.
Beliau berkata program itu juga untuk mencapai sasaran kementerian bagi melahirkan 55 peratus pekerja mahir menjelang 2020 sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara berstatus pendapatan tinggi.
Riot berkata Malaysia juga boleh menjadikan Jerman sebagai contoh antara negara paling membangun di benua Eropah kerana mereka mempunyai 82 peratus pekerja mahir.
"Pada masa sekarang peratusan pekerja mahir 28 peratus dan sasaran kita meningkatkan sehingga 33 peratus menjelang 2015 dan akhirnya kepada 55 peratus menjelang 2020," katanya.
Beliau berkata dunia sekarang juga tidak menumpukan hanya pekerja kolar putih tetapi memerlukan pekerja mahir dalam 24 bidang utama seperti mekanik dan pekerja binaan.
Riot berkata kementerian juga menumpukan perhatian supaya pelajar bidang kemahiran melanjutkan pelajaran ke peringkat empat, lima dan enam iaitu diploma sehingga ijazah sarjana muda melalui institut yang disediakan kementerian.
Terdahulu beliau melepaskan konvoi motosikal berkuasa tinggi ke Kedah sempena Karnival dan Ekspo Kemahiran Kebangsaan Utara yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah bermula esok sehingga Ahad.
Sumber BERNAMA