Akhbar : Borneo Post | Tarikh : 24 Januari 2015
KUCHING: Malaysia perlu mempunyai 50 peratus tenaga kerja mahir terutama dalam bidang teknikal menjelang tahun 2020, jika ingin terus menjadi negara maju.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai, yang mana pada masa ini Malaysia mempunyai 28 peratus pekerja mahir dari segi teknikal.
“Pada masa ini, peratusan pekerja mahir dari segi teknikal di Malaysia hanya 28 peratus daripada 14.8 juta tenaga kerja di negara ini.
“Untuk menjadi sebuah negara maju, kita perlu mempunyai 50 peratus tenaga kerja menjelang tahun 2020 iaitu separuh daripada tenaga kerja perlu mempunyai kemahiran dalam bidang teknikal,” ujarnya pada sidang media di pejabatnya di Wisma PERKESO di sini, semalam.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Serian berkata, selari dengan hasrat kerajaan, kementeriannya akan berusaha meningkatkan peratusan pekerja mahir daripada 28 peratus kepada 33 peratus pada tahun 2015.
Riot berkata, kementerian menyasarkan untuk mencapai peningkatan lima peratus berkenaan atau 700,000 pekerja mahir dalam bidang teknikal menjelang penghujung tahun ini dengan adanya institusi-institusi di bawahnya serta yang lain.
“Lima peratus atau 700,000 tenaga kerja itu sudah pasti tidak bergantung semata-mata kepada kementerian, tetapi bantuan institusi lain seperti sekolah vokasional dan politeknik.
“Dari segi kementerian pula, kita mempunyai 32 buah Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di seluruh negara,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa dan pelajar agar mengambil peluang melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal kerana ia bukan pilihan kedua menjelang tahun 2020.
“Selama ini ramai yang berpendapat bahawa institusi pengajian pusat latihan kemahiran adalah pilihan kedua, tetapi sebagai menteri sumber manusia saya ingin menekan ia adalah bukan pilihan kedua khasnya menjelang tahun 2020,” ujarnya.
Sumber : Borneo Post Online