Akhbar : Utusan Malaysia | Tarikh : 5 Disember 2014
KEPALA BATAS 4 Dis. – Malaysia memerlukan kira-kira 50 peratus tenaga kerja mahir dalam bidang teknikal menjelang tahun 2020 bagi mengimbangi kemasukan pekerja asing yang ada sekarang.
Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Chin Phaik Yoong berkata, pihaknya yang merupakan salah satu agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia telah dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan tersebut.
Menurutnya, salah satu agensi yang membekalkan tenaga kerja mahir itu adalah Institut Latihan Perindustrian (ILP) yang sememangnya mendapat permintaan tinggi daripada industri.
“Sekiranya kita mampu mengeluarkan 50 peratus tenaga kerja mahir menjelang 2020, pastinya Malaysia akan berjaya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
“Pihak industri juga berpeluang mendapat bekalan sumber tenaga menerusi ILP di seluruh negara yang menawarkan pelbagai kursus teknikal dan separa teknikal,” katanya dalam sidang akhbar di ILP Kepala Batas di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara ILP Kepala Batas dan Koolman International Malaysia Sdn. Bhd. (Koolman) serta kerjasama pintar dengan industri iaitu Syarikat Great Business and Services serta Hang Tuah Sdn. Bhd.
Yang turut hadir Pengarah ILP Kepala Batas, Zamsuri Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Shariful Azhar Othman.
Tambah Phaik Yoong, MoU yang ditandatangani itu akan memantapkan kualiti latihan kemahiran agar kekal relevan serta seiring dengan teknologi dan kehendak industri yang sangat dinamik.
Selain itu, katanya, Koolman juga telah membangunkan satu perkongsian sistem pendingin hawa menggunakan kuasa solar yang pertama kali diperkenalkan di negara ini.
Sementara itu, Zamsuri berkata, MoU selama lima tahun bersama Koolman itu menyaksikan beberapa kerjasama dan pemindahan teknologi dalam Program Teknologi Penyejuk Bekuan dan Penyaman Udara di bawah Pusat Kecemerlangan Teknologi HVAC di ILP Kepala Batas.
Katanya, Pusat Kecemerlangan Teknologi HVAC ILP Kepala Batas juga dalam perancangan menubuhkan Pusat Latihan dan Pengendalian Refrigeran Hidrokarbon Kebangsaan yang menawarkan pakej kursus dan latihan kepada pelajar dan pekerja industri.
Tambah Zamsuri, dua lagi kerjasama pintar yang ditandatangani adalah antara Syarikat Great Business and Services dan Program Komputer Sistem ILP Kepala Batas serta Hang Tuah Sdn. Bhd. dengan program Teknologi Instrumensi.
Sumber : Utusan