Akhbar : Sinar Harian | Tarikh : 9 Ogos 2014
MARAN - Golongan muda di negara ini disaran melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang lebih kompetatif sebagai persediaan untuk menjadi pelapis kepimpinan negara.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah bertitah negara amat memerlukan pelapis pemimpin yang dinamis, berilmu berkemahiran dan bertanggung jawab.
"Saya sangat tertarik dengan langkah Kementerian Sumber Manusia yang menyediakan pelbagai latihan untuk golongan muda dan berharap mereka tidak mensia-siakan peluang itu.
"Ini kerana kualiti rakyat dan kemajuan negara pada masa hadapan bergantung kepada kualiti generasi muda hari ini yang berkemahiran dalam pelbagai bidang yang diperlukan negara," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Ramah Mesra Aidil Fitri Kementerian Sumber Manusia Bersama Tengku Mahkota dan pelancaran Tabung Gaza Palestin dan MH17 di Dataran Arena Tengku Muda Maran di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh Anggota Parlimen Maran Datuk Ismail Abd Muttalib yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Sementara itu, Tengku Abdullah mengingatkan rakyat supaya mengekalkan ukhwah dan ikatan silaturahim sesama mereka kerana perpecahan hanya akan memberi kesan negatif kepada negara.
Semua formula kestabilan yang dicapai negara perlu dikekalkan untuk membolehkan perancangan pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar demi faedah rakyat dan negara, titah baginda.
Sumber : Sinar Harian