Akhbar : Sinar Harian | Tarikh : 24 September 2014
KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia berhasrat mewujudkan dua sesi pengajian di semua lnstitusi Latihan Perindustrian (ILP) di negara ini dalam usaha melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran.
Menterinya. Datuk Seri Richard Riot berkata, bagi memastikan sasaran itu dicapai, kementeriannya akan mencadangkan usul itu dalam sidang Kabinet akan datang.
“Kita telah membuat perbincangan dengan perdana menteri mengenai perkara ini dan pembentangannya pada sidang Kabinet nanti.
Ini salah satu cara untuk kita mencapai sasaran iaitu mahu melahirkan seramai 210,000 pekerja berkemahiran dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.” Katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Jubli Emas ILP Kuala Lumpur ke-50 tahun di bangunan ILP, semalam.
Menurutnya, pelaksanaan dua sesi pengajian ini dilakukan bagi menampung permintaan rakyat di negara ini yang dilihat lebih berminat dalam bidang berkemahiran ini.
“Kalau dua sesi pengajian diadakan kita dapat penggandakan julah penuntut kepada 1,600 penuntut berbanding 800 penuntut untuk satu sesi.
“saya yakin pengajian dua sesi ini dapat memberi manfaat sebagai usaha mencapai sasaran yang ditetapkan.” katanya.
Richard berkata, kementeriannya akan segera melaksanakan cadangan itu setelah ia diluluskan oleh cabinet.
Bagaimanapun katanya, perbincangan terperinci mengenai pelaksanaan cadangan itu akan dibuat selepas cabinet membuat keputusan.
“Buat masa sekarang saya tidak akan dedahkan mekanisme yang akan kementerian lakukan.” katanya.
Sebelum itu, Richard turut memuji ILP kerana dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini, statistik menunjukkan terdapat peningkatan sehingga 96 peratus graduan ILP berjaya mendapat pekerjaan dalam bidang kemahiran.
“Ini pencapaian yang membanggakan.” kataya.
Sumber : Sinar Harian