Akhbar ; Berita Harian | Tarikh : 20 Oktober 2010
KOTA KINABALU: Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILTJM) harus memastikan kursus yang ditawar relevan dengan pasaran dan keperluan semasa, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, hari ini.
"Ini sangat penting kerana peningkatan produktiviti dan daya saing negara memerlukan tenaga kerja yang kreatif, berinovasi dan berintegriti," katanya pada perasmian Konvokesyen ILTJM Wilayah Timur, di Sepanggar, dekat sini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Dr Yee Moh Chai.
Musa berkata, pendidikan adalah antara bidang terpenting dalam menjana pembangunan dan kejayaan sesebuah negara.
"Sebab itulah kerajaan sentiasa berusaha memantapkan institusi pendidikan di semua peringkat bagi melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan dan seterusnya menyumbang ke arah kemajuan dan kemakmuran negara," katanya.
Musa berharap graduan institut itu dapat terus meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran ke peringkat yang lebih tinggi, sekali gus mendorong belia lepasan sekolah untuk mengikuti latihan kemahiran perindustrian.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Datuk Romli Hassan, berkata keperluan tenaga mahir dan tidak mahir kini semakin bertambah susulan kepesatan pertumbuhan ekonomi negara dan pelaksanaan pusat pertumbuhan ekonomi termasuk Koridor Pembangunan Sabah akan pasti menjana peluang pekerjaan baru.
Katanya, negara perlu mewujudkan lebih banyak tenaga mahir untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, sebanyak 341 graduan dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu, 241 dari ILP Sandakan dan 170 graduan ILP Labuan berjaya dipersijilkan bagi keluaran sesi 2/2011 dan 1/2012 tahun ini.
Sumber BERNAMA