Akhbar : Bernama | Tarikh : 10 Oktober 2013
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kementerian Sumber Manusia telah dinobatkan sebagai juara bagi Sektor Awam - Kategori Persekutuan di Konvensyen Persekitaran Berkualiti (QE/5S) Peringkat Kebangsaan 2013 yang telah diadakan dari 1 hingga 3 Oktober 2013 di Bukit Gambang Resort City, Kuantan, Pahang.
Pertandingan ini diadakan sempena Persidangan Produktiviti dan Inovasi (APIC 2013) anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) .
Ternyata penyertaan sulung JTM di QE/5S Peringkat Kebangsaan 2013 membawa tuah apabila memenangi tempat pertama yang sekali gus membawa pulang Cek bernilai RM4,000.00, Pingat, Sijil Penganugerahan Juara serta Sijil Penganugerahan 3 Bintang menurut satu kenyataan.
Bagi menarik perhatian para juri dan pengamal-pengamal QE/5S, JTM telah mempamerkan persembahan yang kreatif dengan menyelitkan elemen lakonan yang unik untuk penyampaian mesej.
Ahli Kumpulan QE/5S JTM yang telah menyumbang kepada kejayaan ini terdiri daripada Noor Lisa Rahmat, Norfariza bt Kamaruddin, Syahril Azli bin Abdul Rahman, Sheikh Ezamuddin bin Sheikh Mohd Mustaffa dan Ismail bin Mohd Taha.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaacob.
Sumber BERNAMA