Akhbar : Bernama Online | Tarikh : 27 Julai 2015
MARAN, 27 Julai (Bernama) -- Malaysia meletak sasaran sekurang-kurangnya memperoleh sebutir emas dalam Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) yang akan berlangsung di Brazil dari 10 hingga 19 Ogos ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, jika sasaran tersebut berjaya dicapai, ia akan dapat menebus kegagalan kontinjen Malaysia untuk membawa pingat lebih 20 tahun lalu.
"Saya sebagai Ketua Kontinjen Malaysia menaruh harapan yang tinggi supaya kita akan dapat membuktikan kejayaan anak-anak muda kita di peringkat antarabangsa pada pertandingan kali ini.
"Saya percaya kita mampu melakukan yang mana pada tahun lalu kita berjaya mendapat sembilan emas dan dinobatkan tempat kedua dalam Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) yang disertai 10 negara di Hanoi, Vietnam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Lemang Perdana di kediamannya di sini, Ahad.
Pada majlis itu lebih 1,000 batang lemang dibakar secara bergotong-royong oleh penduduk sebagai jamuan hari raya.
Ismail dalam pada itu berkata kejayaan membawa balik pingat emas dalam pertandingan kali ke-10 yang disertai Malaysia itu amat penting dan menjadi harapan besar kerajaan serta seluruh rakyat.
Katanya, pertandingan itu menjadi kayu pengukur sejauh mana bakat kemahiran yang dimiliki golongan muda negara mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
"Kita akan menghantar sebanyak 14 penyertaan yang akan bersaing dengan kira-kira 60 buah negara.
"Kebanyakan wakil Malaysia adalah terdiri daripada mereka yang pernah mendapat pingat emas dalam ASC di Hanoi tahun lalu sekali gus mampu memberi saingan sengit dan harapan besar buat negara," katanya.
Sementara itu, beliau meminta ibu bapa supaya sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak mereka untuk melanjutkan pengajian vokasional dan kemahiran yang menjanjikan pendapatan lumayan.
"Kalau kita lihat di negara lain, ibu bapa lebih menghantar anak-anak mereka ke bidang teknikal dan vokasional yang mempunyai masa depan yang amat baik," katanya.
Sumber : BERNAMA
Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur
Jabatan Tenaga Manusia
Kementerian Sumber Manusia
Jalan Kuchai Lama
58200 Kuala Lumpur
03-7981 7495 / 7496
03-7983 2987
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Jumlah Pelawat Hari Ini: 32 | Minggu Ini: 502 | Bulan Ini: 126 | Keseluruhan: 15088955