Akhbar : Borneo Post | Tarikh : 20 Januari 2015
KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu syarat kelayakan bagi kemasukan ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) dilonggarkan bagi membolehkan lebih ramai belia Sarawak mengikuti latihan kemahiran teknikal.
Menurut Adenan, ILP mampu menampung antara 200 hingga 300 pelatih pada satu masa namun disebabkan syarat-syarat kelayakan yang agak rumit maka kapasiti ini tidak dapat dipenuhi oleh ILP.
“Saya tidak mahu melihat golongan belia kita berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa sama ada di kampung mahupun di bandar.
“Saya mahu mereka mengikuti latihan kemahiran teknikal kerana pada masa kini SPM sahaja tidak mencukupi untuk mendapatkan pekerjaan yang baik.
“Sebab itu, saya mahu syarat-syarat kemasukan ke ILP dilonggarkan bagi membolehkan lebih ramai golongan belia mengikuti latihan kemahiran teknikal yang disediakan oleh kerajaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Pertama di Dewan Serba Guna Yayasan Sarawak di sini semalam.
Tambah Adenan, bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi, kerajaan di peringkat negeri dan pusat akan mewujudkan lebih banyak sekolah teknikal di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Mengulas mengenai konvokesyen berkenaan, Adenan yakin khidmat pelatih yang berjaya menamatkan latihan amat diperlukan malah beliau tidak hairan jika ada di kalangan mereka terus mendapat pekerjaan.
Ini kerana menurut beliau, Sarawak amat memerlukan tenaga kerja dengan kemahiran yang tinggi serta berupaya menggunakan sebaiknya kedua-dua tangan mereka untuk kerja-kerja teknikal.
“Jadi, jangan jadi pemalas kerana kemahiran teknikal bukan untuk mereka yang malas.
“Sarawak memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi tidak kira lelaki mahupun perempuan kerana kita mahu layanan yang sama rata antara lelaki dan perempuan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Adenan juga berharap kapasiti pelatih di CENTEXS ditambah pada masa akan datang berbanding 500 pelatih pada masa ini.
Mahu melihat pusat ini dimanfaatkan sepenuhnya Adenan juga akan berbincang dengan rakan kerjasama daripada industri seperti Petronas untuk menyediakan lebih banyak fasiliti kepada para pelatih.
Konvokesyen semalam menyaksikan seramai 93 orang pelatih menerima sijil masing-masing melibatkan kursus dalam bidang Mekatronik (Port Equipment), Scaffolding dan Kimpalan.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani, Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom dan Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.
Sumber : Borneo Post Online