Akhbar : Utusan Malaysia | Tarikh 14 Mac 2015
Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang berkongsi rahsia kejayaan mendapat A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Seperti selalunya, kisah kejayaan pelajar yang berlatarbelakangkan kekurangan diri sering mencuri perhatian. Ada yang datang daripada keluarga miskin, anak pemandu lori, pesawah, nelayan, buruh kasar, anak yatim, kecacatan fizikal atau bertarung hidup dengan penyakit kronik.
Kejayaan seperti ini memberi makna yang sangat besar kepada mereka. Dengan segala kekurangan dalam hidup, pelajar-pelajar kategori tersebut mampu mencapai keputusan cemerlang atau baik.
Kepada orang lain pula, kisah sebegini menjadi panduan dan inspirasi untuk dicontohi.
Kisah pelajar yang gagal atau mencatat kejayaan tidak berapa baik dalam SPM juga ada.
Jumlahnya sudah tentu lebih besar daripada jumlah yang mendapat keputusan cemerlang. Mereka kena menerima ketentuan ini, mahu tidak mahu. Bagi yang sudah berusaha bersungguh-sungguh, tetapi masih gagal sudah tentu kecewa berbanding dengan mereka yang tidak mengambil peduli peperiksaan tersebut.
Bagi yang mendapat keputusan bagus, mereka sudah ada perkiraan. Mereka sudah tahu ke mana haluan seterusnya. Masing-masing ketika ini sedang sibuk memilih kursus dan universiti mana untuk melanjutkan pelajaran.
Yang gagal atau mendapat keputusan tidak baik pula sudah pasti turut merancang perkiraan bagi memperbaiki diri. Sebenarnya terlalu banyak peluang turut tersedia kepada kumpulan ini.
Tinggal lagi, ‘nak atau tak nak.’ Kumpulan yang gagal memperoleh keputusan cemerlang dan tidak layak ke universiti awam tidak perlu merasa sedih dan kecewa. Masih banyak lagi peluang memajukan diri terbentang di hadapan.
Ada banyak institusi pengajian tinggi serta institusi kemahiran yang menyediakan peluang melanjutkan pelajaran kepada kumpulan yang mendapat keputusan sederhana dan kurang baik dalam SPM atau sekadar tamat tingkatan lima. Sekadar menyebut beberapa nama antaranya politeknik, kolej komuniti, institut kemahiran belia negara, institut latihan perindustrian dan bermacam-macam lagi yang menawarkan pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET) sepanjang hayat.
Ada pelbagai jenis kemahiran yang ditawarkan. Latihan di peringkat sijil dan diploma dan lepasan institut latihan kemahiran awam ini diiktiraf oleh kerajaan dan swasta. Apa yang lebih penting latihan teknik dan vokasional yang diterima memenuhi kehendak dan pasaran industri.
Sebahagian besarnya juga boleh berbangga kerana ditawar atau menerima gaji permulaan kerja yang lebih lumayan daripada graduan lulusan universiti awam. Tidak kurang pula yang membuka perniagaan sendiri selepas menimba banyak pengalaman bekerja dalam industri berkaitan.
Walaupun kelihatan kurang ‘glamor,’ institusi latihan kemahiran ini sebenarnya sangat popular dan menjadi pilihan ramai lepasan SPM atau tingkatan lima yang mahu memajukan diri dalam bidang kemahiran. Hal ini kerana ilmu kemahiran adalah satu ilmu yang sangat berharga, berkekalan dan sukar untuk dilupuskan.
Di negara-negara maju, permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran sangat tinggi. Perkembangan yang sama dapat dilihat di Malaysia. Permintaan ke atas lulusan yang mempunyai kemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional berkembang pesat sesuai dengan pembangunan negara.
Kemunculan industri-industri baru yang memerlukan tenaga manusia berkemahiran merancakkan lagi permintaan terhadap mereka.
Kepada lepasan SPM baru-baru ini yang mendapat keputusan sekadar ‘cukup makan’ sahaja tulisan ini diharapkan dapat membantu, sekurang-kurangnya meredakan rasa keluh kesah dan sedih mereka.
Peluang untuk berjaya dan memajukan diri sentiasa terbuka dan boleh dicapai dalam pelbagai cara. Pokok pangkal kena sentiasa berusaha dan tidak jemu-jemu berusaha.
Sumber : Utusan Online
Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur
Jabatan Tenaga Manusia
Kementerian Sumber Manusia
Jalan Kuchai Lama
58200 Kuala Lumpur
03-7981 7495 / 7496
03-7983 2987
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Jumlah Pelawat Hari Ini: 155 | Minggu Ini: 291 | Bulan Ini: 1591 | Keseluruhan: 15084967