Rencana : Utusan Malaysia | Tarikh : 18 April 2014
DALAM sebuah negara yang sedang membangun, bidang pekerjaan sangat penting bagi setiap orang untuk menyara kehidupan keluarga. Bagi mereka yang memilih kerja agak sukar untuk mendapatkan pekerjaan yang diingini. Pekerjaan pada masa kini juga memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Tanpa ilmu, kelulusan dan kemahiran yang tinggi dalam sesuatu bidang yang diceburinya, seseorang itu sukar mendapat pekerjaan yang sesuai.
Kajian Pengesanan Graduan terbaharu oleh Kementerian Pendidikan mendapati secara purata 76 peratus pelajar Politeknik di seluruh negara berjaya memperoleh pekerjaan selepas mereka menamatkan pengajian. Institusi politeknik di negara ini dijangka mampu melahirkan jumlah terkumpul 350,000 pekerja mahir menjelang 2020.
Sejak 2010, politeknik di negara ini mengeluarkan minimum 30,000 orang graduan setiap tahun.
Justeru, pelbagai sektor boleh diceburi dalam pekerjaan antaranya perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor, pertanian dan perladangan, sektor pembuatan dan juga bidang pekerjaan kolar putih di pejabat kerajaan dan swasta.
Keadaan harga barang yang semakin naik terutama barang makanan memerlukan setiap orang bekerja untuk mendapatkan wang bagi membiayai diri sendiri dan juga keluarga. Keadaan ini amat dirasakan oleh mereka yang tinggal di bandar.
Mata pencarian dan hasil kerja yang paling baik adalah kerja yang dilakukan oleh tangan sendiri iaitu bidang perniagaan yang halal. Mencari rezeki yang halal adalah wajib. Seseorang yang bekerja dan berusaha dan bersusah-payah mencari rezeki untuk keluarganya adalah satu contoh yang baik.
Pada masa kini dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi menjanjikan atau menjamin untuk mendapatkan kerja yang baik dengan gaji yang berpatutan.
Kelulusan minimum pada masa kini adalah ijazah pertama dari universiti tempatan atau luar negara. Bagi mereka yang berkelulusan diploma terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan bilangan mereka yang berkelulusan diploma terlalu banyak.
Ada kalangan remaja atau golongan muda lepasan universiti tidak memilih kerja lagi apabila terpaksa melangsaikan beberapa hutang seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Hutang PTPTN sahaja mencecah RM60,000 hingga RM90,000 untuk dijelaskan.
Statistik menunjukkan kadar pengangguran dalam negara meningkat kepada 3.1 peratus pada Ogos, berbanding 3.0 peratus pada Julai dan 2.7 peratus pada tempoh yang sama 2012.
Keadaan ini menunjukkan bilangan penduduk menganggur pada Ogos 2013 naik sebanyak 20,600 orang atau 4.9 mata peratus kepada 441, 800 orang. Kebanyakan mereka ini ialah golongan muda lepasan universiti.
Bilangan penduduk yang bekerja pula menunjukkan pertumbuhan positif dengan peningkatan 173, 300 (1.3 peratus) kepada 13.67 juta orang berbanding Julai 2013. Hal ini membuktikan bahawa sesetengah golongan muda tidak terlalu memilih kerja untuk menyara dan membantu kehidupan keluarga.
Pertambahan penduduk dalam pasaran buruh seramai 193,900 atau 1.4 peratus kepada 14.11 juta orang. Ini disebabkan ada kalangan penduduk yang tidak memilih lagi apa pekerjaan yang dilakukan asalkan pekerjaan itu halal.
Melalui Bajet 2014, usaha berterusan akan diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan kualiti latihan bagi menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.
Oleh itu kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah. Antaranya, melaksanakan single tier bagi kursus Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 hingga 3, selama setahun enam bulan di semua Institut Latihan Perindustrian di bawah Jabatan tenaga Manusia (JTM).
Kedua, menaik taraf dan menyelenggarakan bangunan serta peralatan di Institut latihan JTM seiring dengan teknologi terkini dengan peruntukan RM178 juta dan ketiga, menyediakan dana pinjaman latihan kemahiran berjumlah RM330 juta di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran. Tabung ini bertujuan menyediakan pinjaman kepada belia lepasan SPM untuk mengikuti kursus latihan kemahiran.
Justeru, dapat dilihat peluang kerja kukuh dan guna tenaga naik 2.5 peratus dalam separuh pertama 2013, manakala kadar pengangguran kekal stabil. Sektor perkhidmatan penyumbang tertinggi guna tenaga dengan subsektor perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal mencatat sumbangan tertinggi (16.80 peratus), diikuti pembuatan (16.78 peratus) dan pertanian (13 peratus).
Kajian menunjukkan bilangan penduduk umur bekerja dijangka meningkat 1.6 peratus kepada 20.4 peratus. Seterusnya, ekonomi dijangka terus beroperasi dalam keadaan guna tenaga penuh menjelang akhir 2014.
Lantaran itu, pendidikan di sekolah dan di universiti juga mestilah menjurus kepada alam pekerjaan. Pada masa ini, majikan juga menyuarakan kebimbangan akan keupayaan sistem pendidikan melengkapkan generasi muda dengan persediaan yang secukupnya bagi menghadapi cabaran abad ke-21 dalam bidang pekerjaan.
Bidang-bidang pekerjaan baharu seharusnya diteroka oleh generasi muda seperti bidang pembuatan, pertanian moden, penternakan, perladangan dan juga pembangunan di luar bandar dan di bandar. Golongan muda terutama kalangan bumiputera wajar menceburi bidang penjualan peralatan seperti telefon dan peralatan teknologi maklumat.
Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dari pendidikan prasekolah hingga lepasan maktab, kerajaan menyedari hakikat ini dan mengambil tindakan berani dan pantas untuk menyediakan modal insan yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi yang mesti dilaksanakan dengan segera bagi memenuhi hasrat majikan yang mahukan pekerja berilmu dan berkeupayaan tinggi.
Peralihan ke arah operasi berintensif kepada modal dan berteknologi tinggi dijangka menjadi pemacu utama perkhidmatan bagi sektor pembuatan bagi tahun 2014. Pertumbuhan produktiviti dalam sektor perkhidmatan pula dijangka akan disokong terutama oleh subsektor kewangan dan insurans, hartanah serta maklumat dan komunikasi.
Sumber : Utusan Malaysia
Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur
Jabatan Tenaga Manusia
Kementerian Sumber Manusia
Jalan Kuchai Lama
58200 Kuala Lumpur
03-7981 7495 / 7496
03-7983 2987
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Jumlah Pelawat Hari Ini: 0 | Minggu Ini: 324 | Bulan Ini: 1911 | Keseluruhan: 15102947